Jangan tanya pada senja,
Bagaimana, kenapa, mengapa,
Jiwa tak diluah dengan kata,
Hanya pena bukti tulusnya rasa.

Monday, 15 April 2019

Hanya Sekeping Tanah

Dari hanya sekeping tanah
Dijadikan aku sebagai manusia
Sebaik-baik kejadian tuhan
Dari sana aku datang dari sana aku dikembalikan.

Dari tanah yang gersang dan kering
Kadang dihiasi dengan lopak-lopak mutiara
Aku menggelarkan ia ibu kandungku.
Lihatlah anggota tubuhku,
Aku berasal dari tanah itu.

Dari seluas tanah mendatar itulah,
Yang akan memamah tubuh berdosa
Yang akan menghimpit atma tidak bertuhan
Yang akan menemani sisa hidup menuju alam akhirat

Kini,
Tanah itu menghambatku
Tanah itu menjengah kehidupanku,
Tanah itu berlari-lari dalam mimpiku.
Bersedia membuka ruang untuk menerima hadirnya anak yang lama hilang di pangkuan seorang ibu.

Mungkinkah tanah itu akan memeluk aku?
Hingga berselirat tulang rusukku,
Menghambur rasa rindu di dada.
Mungkin juga amarah terpendam selama aku hidup di dunia
Yang hanya tahu memijak tanah sedang alpa tanggungjawab sebenar.

Tanah itu,
Kuharapkan ia mampu bercahaya.
Menerangi baki-baki perjalananku bertemu Sang Penciptaku
Kerana pada saat itu hanya tanah tempat tinggalku.
Kerana pada saat itu hanya tanah ahli keluarga abadiku…

💟 Originally from NAMS’00